Kesan Kebiadaban Di Dunia Siber, sebuah artikel oleh Dr Rahmat Ghazali yang menyentuh tentang kebebasan siber yang telah disalahertikan oleh pengguna internet di Malaysia. Seperti mana yang diunsurkan dalam artikel ini, pengguna-pengguna internet di Malaysia menjadikan internet sebagai wahana untuk meluahkan rasa marah dan caci-cerca terhadap sesuatu perkara dengan tidak mengendahkan akibat daripada perbuatan tersebut.
Secara tidak sedar, perbuatan sedemikian telah menular dalam kalangan masyarakat Malaysia bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pengguna-pengguna internet yang tidak bertanggungjawab ini telah menyalahgunakan kebebasan bersuara yang telah diberikan kepada mereka.
Di Malaysia, konsep kebebasan bersuara diiktiraf sebagai salah satu hak kebebasan asasi manusia. Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan berkaitan dengan hak ini iaitu semua warganegara Malaysia berhak untuk bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran. Walaupun begitu, ia bukanlah merupakan kebebasan yang mutlak.
Jadi, hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan itu adalah selagi mana hak kebebasan itu tidak disalahgunakan seperti sesuatu ungkapan itu tidak menjadi suatu fitnah, ungkapan yang tidak menjadi suatu hasutan dan ungkapan yang tidak melanggar hak keistimewaan Parlimen dan Dewan Negeri.
Para pengguna internet menyalahgunakan kebebasan bersuara kerana mereka beranggapan bahawa pengguna internet bebas menulis apa sahaja di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Oleh itu, semakin ramai pengguna internet berani melemparkan ideologi-ideologi yang boleh menggugat keamanan negara termasuklah mengkritik kerajaan. Ideologi-ideologi yang mengkritik kerajaan tidak harus dipandang enteng oleh masyarakat kita.
Seperti yang tercatat di dalam artikel oleh Dr Rahmat Ghazali, pengguna-pengguna internet tidak terlepas daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sungguhpun begitu, ramai di antara pengguna internet masih tidak serik melakukan perbuatan tidak bermoral ini.
Pada masa sekarang, internet membentuk dunianya yang tersendiri yang dikenali sebagai dunia siber (cyber world). Manusia sebagai makhluk yang mempunyai ‘akal’ telah menyalahgunakan kemudahan internet dengan melayari dunia siber untuk tujuan hasutan, pembohongan, fitnah dan prejudis yang tebal dengan sentimen perkauman.
Pengguna-pengguna internet memasuki dunia siber ini tanpa had dan sekatan, tanpa mengira agama, bangsa, ras, negara, warna kulit, budaya, gaya hidup bagi berhubung dan bertukar maklumat melalui internet. Kemudahan internet disalahgunakan dan dijadikan medium untuk memaki-hamun dan mencerca sesama sendiri. Oleh itu, pembinaan hubungan etnik yang harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia hanyalah angan-angan yang tidak dapat direalisasikan.
Menyedari hakikat ini, tindakan yang sewajarnya perlu diambil untuk mengekang permasalahan ini. Jika ia dibiarkan begitu sahaja, kuasa siber ini dapat melumpuhkan pentadbiran sesebuah negara dan hasrat murni kerajaan untuk melahirkan Gagasan 1 Malaysia adalah laungan semata-mata.
No comments:
Post a Comment